Pep Guardiola telah berikrar untuk kekal dengan naluri menyerang apabila menjadi tuan rumah kepada Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana, esok.

Taktik Guardiola ketika kekalahan 3-1 di Monaco yang menyaksikan City tersingkir dalam pusingan 16 berdasarkan peraturan gol di tempat lawan, dikritik hebat sambil pemain tengah bertahan tunggal, Fernandinho, tidak berupaya memberi perlindungan secukupnya kepada barisan pertahanan yang terdedah kepada serangan dalam separuh masa pertama.

Semi-finalis Piala FA, City, menduduki tangga ketiga liga – satu mata di atas Liverpool yang telah memenangi empat pertemuan terakhir di antara kedua-dua pasukan.

Bercakap menjelang pertemuan esok yang akan menyaksikan pengurus berbangsa Sepanyol itu memperbaharui persaingan dengan bekas musuh dalam Bundesliga, Jurgen Klopp, Guardiola mengulangi pendirian bahawa prestasi separuh masa kedua City di Stade Louis II, di mana mereka menjaringkan gol menerusi Leroy Sane, menyerlahkan manfaat daripada pendekatan agresif.

Ditanya sama ada dia akan lebih bertahan ketika menghadapi Liverpool, Guardiola berkata: “Tidak, tidak. Sekali lagi anda perlu cuba bertahan dengan lebih baik, tapi saya fikir dalam 12-15 minit separuh masa kedua permainan kami di Monaco, kami mencipta lima peluang dan tidak banyak pasukan di Eropah yang mampu melakukan itu.

“Peluang di mana anda tiba di garis seiring dengan pintu gol dan dengan satu hantaran, anda menjaringkan gol tapi kami terlepas peluang-peluang itu. Itu telah berlaku banyak kali.

"Masalah di Monaco ialah dalam separuh masa pertama apabila kami tidak mencipta peluang secukupnya. Itu yang paling membimbangkan saya.

"Dalam perlawanan-perlawanan terakhir dalam Liga Perdana, kami dibolosi sedikit sekali. Kami sangat stabil.”