Pep Guardiola tidak khuatir dengan seteru kelabnya yang berbelanja besar tatkala Manchester City berhasrat untuk melepasi halangan beberapa pencabar dalam usaha mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu bercakap menjelang aksi persahabatan menentang Liverpool di New York (8 pagi esok) susulan kekalahan 0-1 kepada Borussia Dortmund, Sabtu lalu.

The Reds sibuk dalam urusan perpindahan musim ini dengan beberapa penambahan tonggak di Merseyside, termasuk Xherdan Shaqiri, Naby Keita, Fabinho dan Alisson Becker di samping turut timbul spekulasi mengaitkan Nabil Fekir dan Thomas Lemar.

Bagaimanapun, Guardiola mengelak untuk mengulas lanjut mengenai penambahan muka baru di Etihad berikutan ketibaan Riyadh Mahrez sambil menambah bahawa urusan kelab lain tidak menggusarkannya.

"Setiap kelab melakukan apa yang mereka percaya, saya faham sepenuhnya," katanya.

"Saya tidak khuatir tentang apa yang diperkatakan oleh salah seorang daripada kami (pengurus) pada suatu ketika dulu dan keadaannya. Sekiranya Liverpool percaya mereka perlu menghabiskan wang sebesar itu, itu adalah kerana mereka percaya ia adalah yang terbaik buat mereka."

Buat julung kalinya, Guardiola bercakap mengenai lanjutan kontraknya selama tiga tahun bersama City dan biarpun berasa senang hati mengikat kontrak dengan kelab itu sehingga 2021, dia faham bahawa dia harus terus memberikan cabaran untuk menjulang trofi.

"Apabila kami memutuskan untuk melanjutkan kontrak, yang pertama sekali saya berasa selesa, yang keduanya adalah mengenai kepercayaan kelab atas apa yang kami lakukan," katanya.

"Khaldoon (Al Mubarak), Txiki (Begiristain) dan Ferran (Soriano) sedar ia bergantung kepada keputusan. Kami memeterai kontrak selama tiga tahun lagi tetapi hasilnyalah yang akan menentukan apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

"Itulah perkara yang paling penting -- untuk menjadi konsisten dan apabila April dan Mei tiba, kami dalam pemburuan gelaran.

"Sebagai jurulatih bola sepak, kami sentiasa berada dalam kedudukan yang berbahaya."