SUNDERLAND 0 MANCHESTER CITY 2

Pep Guardiola menyifatkan David Silva antara pemain terbaik yang dia pernah bekerja bersama selepas tonggak kelahiran Sepanyol itu membantu Manchester City meraih kemenangan 2-0 di Sunderland.


Silva memainkan peranan untuk membawa City memperoleh empat kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, bermula dengan gol pembukaan Sergio Aguero, sebelum Leroy Sane menggandakan jaringan buat pelawat di Stadium of Light.

Pemain berusia 31 tahun itu dipeluk ketua jurulatih berkenaan di atas padang selepas perlawanan, dan Guardiola memuji kualiti yang dimiliki Silva ketika bercakap dalam sidang media.

"David (Silva) adalah salah seorang pemain terbaik pernah saya latih dalam hidup saya, saya bertuah kerana dapat bersama dengan dia," kata Guardiola.

"Salah satu sebab mengapa saya memutuskan untuk datang ke sini adalah kerana saya senang untuk bersama dengannya. Saya berada di Sepanyol ketika dia bersama Valencia. Saya berada di Barcelona dan saya fikir 'wow' dia istimewa.

"Tetapi saya paling kagum ketika saya bertemu Silva, melihat betapa kompetitifnya dia. Anda tahu, kerana dia sudah lama di England. Dia mempunyai mentaliti kemenangan, dia seorang pejuang dan dia seorang pemain yang hebat.

"Sudah tentu prestasinya adalah benar-benar baik," katanya. "Tetapi di atas padang, saya tidak berkata kepadanya! Kami akan makan malam bersama-sama. Saya menjemputnya."