Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji aksi permainan Bristol City sehingga membuatkan pasukannya terpaksa menunggu jaringan saat-saat akhir untuk mencatat kemenangan 2-1 dalam saingan separuh akhir pertama, awal pagi tadi.

Bristol sebelum ini mencipta kejutan apabila menundukkan beberapa pasukan daripada Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk Manchester United di peringkat suku akhir dan mengejutkan City dengan gol pendahuluan menerusi sepakan penalti Bobby Reid pada minit ke-44.

Bagaimanapun, jaringan Kevin De Bruyne dan Sergio Aguero dalam babak kedua membolehkan City mengesahkan tempat dalam final, namun Guardiola tetap mengakui bahawa keinginan lawan untuk mencipta kemenangan membuatkan aksi tersebut seronok untuk disaksikan.

"Ia memberikan kebaikan kepada bola sepak dan peminat sendiri apabila dua pasukan beraksi seperti ini," ujar Guardiola selepas meneruskan kempen tanpa kalah di peringkat domestik kepada 32 perlawanan.

"Perkara itu memastikan sesebuah perlawanan itu menjadi lebih hebat. Ia juga membuatkan kami sentiasa perlu berusaha untuk menewaskan lawan.

"Kami bertemu pelbagai pasukan pada musim ini dan bermain dalam banyak corak tetapi kami sentiasa mampu menemui formula untuk menang," katanya.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku di penghujung musim tetapi saya menghormati pemain-pemain yang sangat profesional dan memberikan segala-galanya buat pasukan."

Guardiola memulakan perlawanan tanpa dua penyerang utama, Aguero dan Gabriel Jesus, sambil mempertaruhkan Bernardo Silva di barisan depan.

"Bernardo beraksi beberapa kali di posisi itu, begitu juga dengan Raheem Sterling apabila meletakkan lima pemain di barisan bawah. Ia bukan posisi yang sebenar tetapi kami perlu melakukan penggiliran dan melibatkan semua pemain. Semua pemain berada dalam persaingan kecuali David Silva," katanya lagi.