Pep Guardiola bercadang untuk meyakinkan Leroy Sane agar kekal bersama Manchester City sambil menegaskan kelab itu mampu memenuhi potensi yang dimiliki pemain sayap tersebut.

Sane dikaitkan dengan jalan keluar ke Bundesliga tatkala Bayern Munich merupakan salah sebuah pasukan yang berminat.

Semalam, bintang Jerman itu masuk selaku pemain gantian dan membuka ruang buat Sergio Aguero mencipta jaringan tatkala City membelasah West Ham United 4-1 dalam aksi pramusim.

Dan Guardiola tidak pernah mengalah untuk memujuk Sane -- yang menyumbat 17 jaringan dalam semua kejohanan musim lalu -- agar kekal di City.

"Saya sudah katakan berulang kali bahawa semua pemain gembira di sini dan kini mahu membantu Sane mencapai potensi yang ada," ujar Guardiola.

"Dia seorang pemain yang hebat dan berdisiplin."

Satu-satunya pemain yang meninggalkan City adalah Vincent Kompany yang akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan tempoh 11 tahun di Manchester.

Kompany kembali bersama bekas kelabnya, Anderlecht, selaku pengurus serta pemain dan Guardiola menjelaskan penggantinya hanya akan didapatkan apabila semua pemain kembali ke sesi latihan.

"Kami akan memilih kapten," tambah Guardiola.

"Kami akan tunggu sehingga semua pemain pulang dan mereka akan memilih kapten."