KITCHEE 1 MANCHESTER CITY 6

Pep Guardiola mengulangi hasratnya untuk melihat Leroy Sane kekal di Manchester City di celah-celah minat daripada Bayern Munich.


Sane membintangi aksi pra-musim City ketika berdepan juara Liga Perdana Hong Kong, Kitchee, dengan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 6-1, malam tadi.

Niko Kovac melabel Sane sebagai pemain impian Bayern sejurus kemenangan 1-0 juara Bundesliga itu ke atas AC Milan di Amerika Syarikat (AS) semalam tatkala masa depan pemain berkenaan terus menjadi bualan hangat.

Sane masih belum menandatangani kontrak baru di City biarpun Guardiola berulang kali menegaskan kelab itu ingin mengekalkan bekas pemain Schalke tersebut yang telah ditawarkan perjanjian baru.

Gembira dengan persembahan Sane, Guardiola mengesahkan hasratnya untuk mengekalkan pemain berusia 23 tahun itu di City, namun mengakui ia mungkin di luar kawalan kelab itu.

"Dia memperagakan aksi menarik, terutama dalam babak kedua," kata Guardiola dalam sidang akhbar.

"Dia seorang pemain yang kami hargai. Saya amat menggemarinya. Saya fikir dia boleh menjadi pemain yang lebih baik. Sudah dua hingga tiga kali saya mengulangi hasrat untuk melihatnya kekal.

"Itulah sebabnya dia ditawarkan kontrak baru tetapi keputusan itu bukan di tangan kami.

"Ia tawaran yang bagus dan jika dia mahu pergi, maka saya akan sedih, semoga dia akan terus kekal."