Pep Guardiola menjangkakan Alexis Sanchez akan kekal di Arsenal bulan ini walaupun jurulatih Manchester City itu meramalkan Gabriel Jesus akan direhatkan selama dua bulan.

Bintang Chile itu, yang kontraknya kini memasuki enam bulan terakhir, kuat dikaitkan dengan perpindahan ke City pada permulaan musim ini dan dilihat hampir pasti berhijrah sebelum jendela perpindahan Januari ditutup.

Sanchez dilaporkan kecewa kerana permohonannya untuk keluar gagal tetapi sejak itu spekulasi mengatakan kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk dia berpindah, sama ada pada Januari atau pada akhir musim nanti.

Dan, selepas Jesus dijangka berehat dua bulan akibat kecederaan ketika seri 0-0 menentang Crystal Palace malam tadi, bekas bos Barcelona itu ditanya sama ada berita itu mendorong minatnya terhadap Sanchez.

Tetapi Guardiola tidak melihat bekas penyerang Barcelona itu akan meninggalkan Arsenal dalam beberapa minggu ini.

"Saya tidak tahu," katanya kepada pemberita apabila ditanya sama ada City semakin hampir mendapatkan Sanchez.

"Dia pemain Arsenal dan saya fikir dia akan kekal di sana. Kami akan mengadakan mesyuarat dan melihat apa yang terbaik (daripada segi perpindahan), tetapi dia adalah pemain Arsenal dan saya fikir dia akan (kekal di sana)," katanya.

Walaupun keputusan seri dengan Palace menamatkan rentetan 18 kemenangan liga City, mereka kekal sebagai pasukan yang belum kalah dalam liga utama England musim ini.

Guardiola menegaskan bahawa mereka tidak akan menyamai "Invincibles" Arsenal pada 2003-04 dengan mengharungi keseluruhan musim tanpa tewas.

"Saya bersumpah kepada kamu," katanya. "Itu tidak akan berlaku. Mungkin Arsene (Wenger, pengurus Arsenal) bimbang tentang itu tetapi seperti saya katakan kepadanya, 2004 adalah untuknya.

"Hari ini banyak berbeza dengan 2004. Banyak pasukan-pasukan yang kuat, banyak pertandingan dan banyak perlawanan. Ia (musim tanpa kalah) tidak akan berlaku," katanya lagi.