Guardiola puji The Citizens di sebalik keputusan seri

By Dom Farrell 23 November 2016 133
Guardiola puji The Citizens di sebalik keputusan seri
MONCHENGLADBACH 1 MAN CITY 1

Pep Guardiola berpuas hati dengan persembahan Manchester City dan mahu mengalihkan tumpuan kepada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas memastikan kemaraan dalam saingan Liga Juara-Juara susulan keputusan seri 1-1 dengan Borussia Monchengladbach, awal pagi tadi. 


David Silva menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan menuju ke waktu rehat selepas tuan rumah terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi Raffael. 

Rentak permainan pada babak kedua, bagaimanapun, terjejas selepas pemain kedua-dua pasukan, Lars Stindl dan Fernandinho, dibuang padang. 

Namun, kemenangan Barcelona ke atas Celtic di Parkhead bermakna City akan beraksi di peringkat 16 terakhir apabila mengesahkan kedudukan di tangga kedua dalam Kumpulan C di belakang jaguh LaLiga tersebut. 

"Bahagian pertama dalam musim ini adalah penting untuk layak ke pusingan berikutnya dan kami berjaya melakukannya -- sekarang kami perlu fokus terhadap EPL," kata Guardiola kepada BT Sport selepas Gladbach terus menghantuinya sejak beliau mengemudi Bayern Munich selama tiga tahun.

"Sudah tentu, saya pernah berada di Jerman dan sedar betapa sukarnya menentang Gladbach. 

"Kami berjaya mengharunginya, tahniah buat pasukan."

Guardiola menganggap gol daripada ketua pasukan, Silva, adalah detik penting perlawanan dan enggan mengulas panjang mengenai kad kuning yang dilayangkan ke atas Fernandinho akibat menarik baju Raffael selain mengelak untuk mengulas keputusan pengadil, Cuneyt Cakir, ekoran perbalahan melibatkan Stindl dan Nicolas Otamendi.

"Sudah tentu, adalah lebih baik menuju ke waktu rehat dengan keputusan seri 1-1 berbanding keputusan lain. Ia detik penting," ujar beliau lagi. 

"Pengadil, selepas kad merah... oh, ia tidak penting. Ia tidak penting."

City memulakan permainan dengan susunan 3-2-4-1, dengan Guardiola menerapkan beberapa perubahan, namun beliau tidak menganggap taktikal yang diterapkannya itu mengelirukan pemain sehingga menjejaskan rentak pada babak pertama. 

"Dalam beberapa ketika, ia bukan mengenai taktikal.

"Taktikal adalah penting, tapi punca utama kami tidak bermain baik adalah kerana sebab lain. 

"Pemain-pemain sedar kami akan memperbaikinya."

Penjaring utama City,  Sergio Aguero, kelihatan berjalan dengan tidak selesa selepas perlawanan, namun Guardiola tidak mahu mengesahkan sebarang kecederaan yang akan mengetepikannya dalam kunjungan ke Burnley, hujung minggu ini."

"Mungkin dia dikasari, tapi dia OK," tambah beliau. 

Saksikan sorotan perlawanan Mönchengladbach dengan Man City
 

About Author

Dom Farrell

Comment