Pep Guardiola berkata semangat juang Manchester City ketika mencatat keputusan seri 1-1 dengan Everton awal pagi tadi merupakan salah satu hari yang membanggakan dalam hidupnya.

City menghabiskan sepanjang separuh masa kedua dengan 10 pemain selepas Kyle Walker secara kontroversi dibuang padang sebelum waktu rehat dan skuad bimbingan Guardiola itu terpaksa mengejar kedudukan susulan jaringan Wayne Rooney pada minit ke-35.

Namun, City bangkit untuk meraih satu mata di Stadium Etihad dengan Raheem Sterling menyelamatkan maruah tuan rumah ketika permainan berbaki lapan minit, lalu membuatkan Guardiola sangat berbangga.

"Kami mahu meraih kemenangan, namun pada akhirnya kami perlu menilai persembahan kami," katanya kepada Sky Sports.

"Ia merupakan salah satu hari yang membanggakan dalam hidup saya melihat permainan kami, 10 pemain menentang 11 pemain Everton. Mereka sebuah pasukan Liga Europa yang mempunyai pemain berkualiti tinggi.

"Ia bukan mudah, namun kami telah mencuba dan terlepas beberapa peluang biarpun menentang 11 pemain."

Bekas pengendali Bayern Munich itu percaya anak buahnya telah memberikan usaha terbaik dalam pertembungan sukar itu.

"Saya tidak pasti berapa banyak peluang yang kami cipta, saya juga tidak tahu berapa banyak peluang yang mereka cipta, namun ia adalah 10 pemain menentang 11 pemain dalam tempoh 65 minit permainan.

"Ia sama seperti kemenangan 2-1 ke atas Burnley tahun lalu apabila kami bersatu-padu, dua hari kemudian bertemu Liverpool yang manyaksikan kami mengharungi permainan dalam tempoh 70 minit dengan 10 pemain (selepas Fernandinho dilayangkan kad merah).

"Kami berjaya memenangi perlawanan itu tetapi kali ini hanya mampu seri."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.