CRYSTAL PALACE 1 MANCHESTER CITY 2

Pep Guardiola memuji prestasi dan sikap Yaya Toure yang kembali beraksi bersama Manchester City selepas meledak dua gol ketika menewaskan Crystal Palace 2-1.


Yaya kembali dalam kesebelasan utama pasukan buat pertama kali dalam aksi Liga Perdana musim ini dengan dua gol untuk menyamakan kedudukan City dengan Liverpool.

Guardiola, yang membekukan aksi pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini, memuji bekas bintang Barcelona itu selepas kembali beraksi.

"Saya sangat gembira buat Yaya kerana dia merupakan seorang pemain yang bagus," kata Guardiola.

"Dia kembali mendapat berat badan yang ideal dan saya tidak meragui kualitinya.

"Yaya seorang yang mampu beraksi di pelbagai posisi. Kami kini memiliki seorang pemain lagi yang mampu membantu kami untuk mencapai sasaran buat musim ini.

"Saya menyedari betapa sukar untuk berdepan Crystal Palace dan menghasilkan kemenangan. Saya masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dalam liga ini."

Tatkala City bersaing hebat dengan pasukan lain di persada liga, ceritanya berbeza buat Palace yang kini telah tewas lima daripada enam perlawanan.

Pengendali pasukan, Alan Pardew, berkata sudah tiba masa buat The Eagles untuk bangkit.

"Kami bakal menghadapi lebih banyak perlawanan akan datang dan kami harus memenanginya. Kami memerlukan keputusan yang positif."