Guardiola perlu masa lakukan rombakan

By Staff Writer 5 February 2017
Guardiola perlu masa lakukan rombakan

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menegaskan dia memerlukan masa untuk merombak pasukannya bagi membentuk skuad yang mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Bakal menerima kunjungan Swansea City hari ini, City kini menduduki tangga kelima liga, 13 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

City ketika ini memiliki beberapa pemain yang melebihi usia 30 tahun, antaranya Yaya Toure, Pablo Zabaleta, Fernandinho, Aleksandar Kolarov dan David Silva.

Enggan tergesa-gesa, Guardiola berkata dia memerlukan masa untuk membuat perubahan sewajarnya.

"Perubahan tidak boleh berlaku dalam masa satu hari, itu mustahil," katanya dalam sidang media.

"Setiap pemain bernilai GBP40 hingga 50 juta, jadi mustahil untuk melakukannya. Tambahan pula, tidak bagus untuk menukar sehingga sembilan pemain pada satu masa."

Guardiola tidak menafikan kepentingan pemain senior, terutama dalam memastikan moral pasukan berada di tahap terbaik.

Bagaimanapun, bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu mengakui perubahan tetap akan berlaku, apatah lagi menyedari mereka memiliki ramai pemain melebihi usia 30 tahun.

"Kami sedar ramai pemain sudah melepasi usia 30 tahun.

"Sebagai contoh, bek kiri dan kanan masing-masing sudah berusia 31 dan 32 tahun tetapi mereka masih pemain penting, maka kami tidak boleh melakukan perubahan sewenang-wenangnya.

"Saya tahu betapa pentingnya pemain seperti Yaya, Kolarov dan Pablo, terutama di dalam bilik persalinan."

About Author

Staff Writer

Comment