Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak menjangka insiden dibelasah 4-0 di Goodison Park musim lepas akan memberi impak kepada pasukannya apabila menanti kunjungan lawan mereka itu, awal pagi esok.

Skuad kendalian Ronald Koeman merakamkan kekalahan terbesar dalam karier Guardiola sebagai jurulatih, Januari lalu, dengan keputusan perlawanan itu sekaligus menguburkan harapan City untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pada musim ini, kedua-dua pasukan telah memperkasakan pasukan masing-masing, dengan pemain termahal Everton yang baru dipancing, Gylfi Sigurdsson, yang berpeluang untuk membuat kemunculan sulungnya di Stadium Etihad, menyaksikan skuad Merseyside itu seri 1-1 ketika bertandang ke sana apabila sepakan penalti Kevin De Bruyne dan Sergio Aguero berjaya diselamatkan.

"Ia sudah lama berlalu. Saya tidak mengulas mengenai sebuah pasukan yang meraih kemenangan 4-0 kerana ini adalah perlawanan yang baru," kata Guardiola kepada pemberita.

"Sudah tentu, kami gagal menewaskan mereka musim lalu. Aksi di tempat sendiri merupakan persembahan terbaik kami, namun kami gagal memenangi perlawanan. Kami bukan hanya gagal menyudahkan dua penalti, malah deretan peluang.

"Dalam perlawanan itu, mereka mempunyai empat peluang dan menyudahkan keempat-empatnya. Benteng kami rapuh, jadi saya berharap kami dapat belajar mengenainya."

City memulakan kempen EPL mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Brighton and Hove Albion, minggu lalu, dengan Ederson, Kyle Walker, Danilo dan Bernardo Silva membuat kemunculan pertama.

Bek kiri, Benjamin Mendy, yang merupakan pemain pertahanan termahal di dunia apabila tiba dari AS Monaco, masih tersisih akibat kecederaan paha.

Guardiola tetap berhajat mengukuhkan pertahanannya sebelum jendela perpindahan ditutup akhir bulan ini, dengan West Brom sudah menolak tawaran ke atas pemain pertahanan tengah Manchester United, Jonny Evans, minggu lalu.

Dia berharap ia langkah yang ideal jika kelabnya itu dapat memuktamadkan perjanjian itu.

"Adalah bagus kalau saya mempunyai skuad yang boleh dilatih sehingga musim sejuk ini. Tetapi, ia bergantung kepada liga ini.

"Semuanya boleh berlaku lebih pantas dan kurang spekulasi agar kami dapat memulakan hari pertama liga dengan skuad yang dihajati.

"Buat masa ini, mungkin anda mempunyai pemain-pemain yang akan berhijrah. Ini lebih baik buat semua kelab -- bukan sahaja di England, malah di seluruh dunia.

"Oleh itu, semua pengurus bolehlah menjalankan tugas mereka dengan segera dan lebih cepat -- tidak perlu menunggu sehingga hari terakhir perpindahan."




b