Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, sedang memantau tiga daripada empat pemain tengah yang berpotensi buat pasukannya.

Fernandinho merupakan tonggak tengah yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam pasukan juara bertahan itu, namun ketiadaannya akibat kecederaan mengakibatkan City tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Crystal Palace dan Leicester City bulan lalu.

Pemain kebangsaan Brazil berusia 33 tahun itu menunjukkan keberkesanannya dengan kembali membantu kemenangan ke atas Southampton, Liverpool dan Huddersfield Town dalam tiga perlawanan terakhir The Citizens.

Walaupun memiliki pasukan yang padat dengan pemain berbakat, Guardiola kekurangan pemain berkaliber yang boleh mengemudi jentera tengah dari bawah.

Guardiola turut kecewa apabila lamarannya terhadap Jorginho awal musim lalu tidak kesampaian sebaik pemain tengah itu memilih untuk kembali berkhidmat di bawah kendalian Maurizio Sarri di Chelsea.

Usaha untuk kembali membawa pemain itu ke Stadium Etihad ketika jendela perpindahan kali ini juga kelihatan mustahil dan Guardiola kini bersedia untuk melakukan pelaburan besar bagi mendatangkan pemain muda berbakat Ajax, Frenkie De Jong, dan gandingan Lyon, Tanguy Ndombele dan Houssem Aouar.

Walaupun enggan menamakan sebarang pemain, pengendali City itu mendedahkan dia sedang memantau beberapa pemain biarpun menyedari kesukaran mencari pengganti kepada pemain serba boleh seperti Fernandinho.

"Berdasarkan corak permainan kami, pasukan ini memerlukan pemain yang mempunyai kelebihan fizikal, cepat membuat keputusan dan bijak membaca ruang.

"Lebih banyak tugasan yang dia mampu lakukan akan menjadi lebih baik.

"Amat sukar untuk mencari pemain yang mampu melakukan pelbagai tugas.

"Harga, ejen dan pasukan mereka pasti akan menjadi penghalang.

"Kami akan mengusahakannya.

"Saya sudah menemui beberapa pemain bagi posisi itu," katanya.

Satu lagi kekurangan City adalah di bahagian pertahanan kiri dengan kecederaan lutut yang melanda Benjamin Mendy memaksa Fabian Delph, Oleksandr Zinchenko, Aymeric Laporte dan Danilo mengisi posisi itu.

Pertahanan Perancis itu kini sudah mula menyertai sesi latihan, namun tidak akan dapat diturunkan bagi menentang Huddersfield Town esok.

Bagi Guardiola, mencari seorang pakar di `posisi itu turut menjadi keutamaannya buat masa ini.

"Kami dapat melaluinya musim lalu dan begitu juga musim ini.

"Namun, kami sedang memikirkannya.

"Saya tidak dapat memberikan jaminan tentang perkara itu kerana masih berkeyakinan dengan barisan pemain saya.

"Kami akan menilai segala kemungkinan yang ada.

"Mendy sudah kembali menjalani latihan.

"Kecederaan seperti itu adakalanya berlaku, namun ia kerap menimpanya," tambahnya.