Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji Jose Mourinho sebagai seorang pengurus luar biasa dan berkata masa diperlukan beliau membentuk skuad ampuh.

Gandingan itu, yang dikenali dengan perseteruan di England dan Sepanyol, sekali lagi akan bertemu ketika City berkunjung ke Tottenham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) tengah malam ini.

Spurs kini ketinggalan 17 mata di belakang penghuni tangga kedua liga, City, dan terikat 1-1 dengan Southampton dalam aksi Piala FA tetapi Guardiola sudah dapat menyaksikan perubahan dalam corak permainan mereka.

Ditanya perbezaan permainan Tottenham di bawah kelolaan Mourinho jika dibandingkan dengan pendekatan Mauricio Pochettino, Guardiola berkata, “Mereka bermain dengan lebih agresif.”

"Saya menyaksikan perlawanan terdahulu berdepan Southampton dan saya melihat sebuah pasukan yang berkualiti.

"Mereka dibolosi pada penghujung permainan tetapi saya telah melihat sebuah pasukan yang mula memberikan impak. Setiap pengurus memiliki idea yang berbeza. Kedua-duanya adalah pengurus yang bagus.

"Pochettino sebelum ini telah bersama pasukan hampir lima atau enam tahun manakala Mourinho baru sahaja beberapa bulan di sana, jadi setiap pengurus memerlukan masa untuk menampilkan corak permainan mereka. Buat masa ini, masih terlalu awal."

Guardiola mengakui City telah terkeluar daripada persaingan takhta EPL ketika pendahulu, Liverpool, sudah mendahului 22 mata selepas mengatasi Southampton 4-0, semalam.



Editor: Ammar Hakim