LEICESTER 2 MAN CITY 1

Pep Guardiola menegaskan beliau masih meletakkan kepercayaannya terhadap pemain-pemain Manchester City selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut hingga menggugat usaha mereka untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).


Jaringan Ricardo Pereira pada minit ke-81 membenarkan Leicester City bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi skuad bimbingan Guardiola itu di Stadium King Power, semalam.

Ini merupakan kekalahan ketiga City dalam empat perlawanan dan jatuh ke tangga ketiga liga di belakang Liverpool dan Tottenham.

Bercakap dalam sidang media pasca-perlawanan, Guardiola mengakui City gagal menyempurnakan peluang terhidang.

"Kami tewas sekali lagi, kami perlu menerimanya. Ketika tewas kepada Chelsea dan Crystal Palace, lawan telah menjaringkan gol menerusi percubaan pertama mereka," kata Guardiola.

"Kami bermain dengan lebih baik selepas mereka menjaringkan gol kecuali 10 minit terakhir permainan. Hantaran terakhir, percubaan terakhir, kami gagal melakukannya dan Leicester menghukum kami."

Kevin De Bruyne membuat penampilan dalam kesebelasan utama buat kali pertama selepas menjalani pembedahan lutut manakala David Silva turut kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan hamstring sebagai pemain gantian.

Fernandinho masih lagi diketepikan dan kad merah yang dilayangkan kepada Fabian Delph selepas melakukan terjahan ke atas Pereira menyaksikan City memiliki masalah untuk memilih pemain tengah bertahan dan bek-kiri menjelang aksi berdepan Southampton sebelum menghadapi perlawanan wajib menang bertemu Liverpool pada 3 Januari nanti