Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, mengandaikan Pep Guardiola mampu menangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan skuad semasa Manchester United.

Manchester City memasuki pusingan akhir aksi EPL buat tahun 2017 dengan kelebihan 15 mata ke atas United yang berada di tangga kedua, selepas mencipta 19 kemenangan daripada 20 perlawanan.

Sementara pengurus Chelsea, Antonio Conte, telah memilih untuk menyifatkan City "telah melakukan sesuatu yang luar biasa", Jose Mourinho pula mendedahkan beliau tidak berpuas hati dengan situasi ini.

Sebelum kekalahan 2-1 dalam pertemuan dengan Manchester derby awal bulan ini, beliau mendakwa pemain-pemain City sengaja merebahkan diri bagi mendapatkan sepakan percuma.


Selepas seri 2-2 dengan Burnley, pengendali kelahiran Portugal itu menyatakan perbelanjaan hampir mencecah GBP300 juta (RM1.6 bilion) di Old Trafford sejak pelantikannya tidak cukup untuk bersaing dengan Guardiola.

Carragher, bagaimanapun, menjelaskan kelebihan yang dimiliki oleh Guardiola ialah kemampuan mencungkil bakat yang dimiliki oleh skuad City serta mendakwa ramai pihak yang menjangkakan United memiliki skuad lebih ampuh pada permulaan musim ini.

"Alasan Mourinho terhadap perbezaan di antara United dan City mengenai perbelanjaan yang telah dilakukan adalah salah," kata Carragher.

"Jika Guardiola berkhidmat untuk United, saya percaya mereka mampu menjuarai EPL.

"Pada permulaan musim ini, kedua-dua pasukan memiliki kualiti yang hampir sama.

"Adakah Ederson dilihat lebih baik daripada David De Gea? Adakah pertahanan Nicolas Otamendi dan John Stones lebih baik daripada Eric Bailly dan Phil Jones? Fernandinho lebih cemerlang daripada Nemanja Matic?

"United memecah rekod perpindahan dengan menandatangani Paul Pogba, kemudian membawa masuk pemain termahal EPL sebelum musim 2017-18 bermula. Jadi, United atau City yang lebih berusaha untuk bergelar juara?

Carragher mengakui kejayaan Mourinho memenangi Piala EFL dan Liga Europa pada musim pertamanya di Old Trafford musim lalu tetapi berasakan beliau masih di belakang Guardiola dalam membantu pemain-pemain mencapai potensi sebenar.

Dia mengambil contoh daripada Kevin De Bruyne – pemain tengah Belgium yang dijual oleh Mourinho ketika mengendalikan Chelsea dan menjadi bintang City di atas rentetan kemenangan mereka pada musim ini.

"City di hadapan musim ini kerana Guardiola membantu pemain-pemainnya untuk menghadapi situasi ini.

"Mourinho terlalu bergantung kepada pengalaman. Jika anda mahu mengembangkan kelab atau pasukan, jangan panggil Mourinho," katanya lagi.

United akan menerima kunjungan Stoke City hari ini manakala City akan bertemu Crystal Palace, esok.