Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji bakat yang dimiliki oleh penjaga gol AC Milan, Gianluigi Donnarumma, dan perancang Real Madrid, James Rodriguez.

City mengumumkan pertahanan, Pablo Zabaleta, telah membuat keputusan untuk meningglkan kelab pada penghujung musim ini selepas kontraknya berakhir.

Gael Clichy, Bacary Sagna, Yaya Toure, Jesus Navas dan Willy Caballero adalah antara pemain senior yang memiliki kontrak yang bakal tamat pada penghujung musim ini.

Joe Hart pula dijangka akan berhijrah secara tetap untuk kekal bersama kelab Serie A, Torino.

Ketika penjaga gol England itu mengalami pengalaman baru di Itali, Guardiola sedang memantau perkembangan penjaga gol Milan, Donnarumma, yang semakin meningkat di San Siro.

"Donnarumma adalah seorang penjaga gol yang berkualiti," kata Guardiola.

"Dia memiliki fizikal yang besar, seorang penjaga gol berusia 18 tahun dan memiliki tahap kemahiran yang tinggi."

Pemain tengah Real, Isco juga merupakan antara sasaran The Citizens serta bintang Colombia, Rodriguez, semakin hampir menuju jalan keluar selepas membantu pasukan meraih kemenangan 4-1 ke atas Sevilla di Santiago Bernabeu.

Rodriguez gagal untuk meraih tempat kesebelasan utama pasukan di bawah kendalian Zinedine Zidane tetapi menghasilkan persembahan terbaik dengan menjaringkan enam gol dalam 10 penampilan dalam saingan LaLiga.

Ditanya sama ada pemain berusia 25 tahun itu akan berjaya dalam Liga Perdana Inggeris, Guardiola berkata, "Sudah tentu. Tiada sebarang keraguan mengenai kualitinya.

"Ia bergantung kepada dirinya dan rakan sepasukannya."