Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, mencabar Sergio Aguero agar menamatkan kemarau kemenangan di Anfield menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Liverpool, esok.

City masih belum tewas dalam saingan liga musim ini, membolehkan mereka menjarakkan kedudukan kepada 15 mata dengan pasukan tangga kedua, Manchester United, sementara Liverpool mengharungi 17 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan.

Kali terakhir City membawa pulang tiga mata dari Anfield adalah pada 2003 menerusi jaringan kemenangan Nicolas Anelka, sebelum terpaksa berpuas hati dengan empat seri dan 10 kekalahan selepas itu.

Aguero yang mencatat jaringan ke-19 musim ini ketika menanduk masuk gol kemenangan menewaskan Bristol City dalam aksi Piala EFL, minggu lalu, menjadi pertaruhan utama Citizens kerana Gabriel Jesus masih belum sembuh daripada kecederaan.

"Saya sukar untuk mempercayainya tetapi dalam masa 45 tahun, City hanya menang dua kali di Anfield dan kali terakhir adalah 15 tahun lalu. Sudah tentu aksi di sana sangat sukar.

"Rekod itu perlu dipecahkan dan Aguero mampu melakukannya," kata Guardiola.

Aksi di Anfield pastinya memberikan tonik baru buat Guardiola selepas berjaya melepasi halangan pertarungan besar musim ini apabila mencatat kemenangan di Old Trafford menewaskan United, Stamford Bridge (Chelsea) serta Stadio San Paolo (Napoli).

"Jika anda mahu memenangi sesuatu kejuaraan, anda harus meraih kemenangan di peringkat sebegini.

"Kami telah melakukannya di Old Trafford dan Stamford Bridge. Kini kami perlu mencuba di Anfield serta aksi di tempat lawan menentang Arsenal dan Tottenham Hotspur."