Pep Guardiola melaungkan amaran kepada pesaing-pesaing dalam Liga Perdana Inggeris dengan menyatakan Manchester City akan menjadi lebih berbisa.

Malah, beliau turut mengumumkan hasratnya untuk kekal bersama pasukan itu dalam tempoh jangka panjang.

Pengurus kelahiran Sepanyol itu tiba di England dengan penuh bergaya, dengan City telah memenangi enam perlawanan Liga Perdana Inggeris, termasuk pertembungan di Old Trafford ketika menjinakkan Manchester United 2-1.

Guardiola menegaskan ini hanya permulaan, sambil mengambil pengalamannya di Barcelona dan Bayern Munich sebagai bukti City akan menjadi jauh lebih hebat pada musim ketiganya jika diberikan masa untuk mengotakan janji.

"Pada tahun ketiga saya bersama pasukan ini, permainan kami akan jauh lebih baik dari sekarang," kata Guardiola.

"Kami memenangi banyak perlawanan dengan semangat yang baru musim ini. Tetapi untuk menghasilkan sesuatu yang lebih konsisten, anda memerlukan masa.

"Pada tahun pertama saya di Barcelona, kami telah memenangi segala-galanya tetapi pada tahun keempat bersama The Catalans, kami bermain jauh lebih baik.

"Pada tahun ketiga saya di Munich, kami beraksi jauh lebih bagus berbanding pada tahun pertama.

"Saya pasti tahun kedua dan ketiga saya bersama City, kami akan bermain lebih baik dari sekarang.

"Dari segi keputusan, ia hampir sempurna tetapi dengan cara kami bermain, kami memerlukan masa.

"Ketika kami menang enam, tujuh, lapan perlawanan berturut-turut, pihak media akan berbincang mengenai kemampuan kami untuk memenangi empat piala dalam satu musim. Berapa kali kelab di England pernah memenangi empat piala? Tidak pernah sekali pun.

"Pada tahun pertama saya, ia begitu sukar. Tetapi tahun depan dan tahun terakhir saya di City, kami akan menjadi pasukan yang jauh lebih bagus dari sekarang.

"Tetapi perkara ini berlaku kepada setiap jurulatih di dunia. Masalah yang dihadapi jurulatih adalah kami tidak mempunyai masa, itu masalah terbesar yang kami perlu hadapi."