Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, melabelkan layanan terhadap bos Arsenal yang kini berada di bawah tekanan, Arsene Wenger, sebagai "tidak boleh diterima".

Wenger dikritik berikutan kekalahan 5-1 pasukannya di Bayern Munich dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Tetapi Guardiola tidak berpuas hati dengan cara jurulatih kelahiran Perancis itu dilayan, khususnya apabila media membuat spekulasi mengenai masa depannya.

"Apa yang saya dengar dalam tempoh 10 hari lepas, bagaimana orang ramai, bekas pemain dan wartawan melayan Arsene Wenger adalah tidak boleh diterima," kata jurulatih dari Sepanyol itu selepas ditanya sama ada dia sepatutnya menurunkan pasukan yang lebih kuat ketika seri 0-0 dengan Huddersfield Town dalam aksi Piala FA, kelmarin.

"Tugas kami, pada waktu itu, tidak dihormati. Jadi ia adalah tidak hormat, apa yang berlaku?

"Sebab itu, kami mengambil keputusan, anda boleh mengatakan apa sahaja yang anda mahu."

City diikat oleh Huddersfield dan kini menghadapi perlawanan ulangan pusingan kelima pada 28 Februari.

Sebelum itu, skuad Guardiola akan bertemu Monaco dalam aksi Liga Juara-Juara, Selasa ini.