Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, tidak pasti sama ada Sadio Mane berhak ataupun tidak dilayangkan kad merah ketika mereka melakar kemenangan 5-0 ke atas Liverpool, semalam.

Mane terpaksa meninggalkan padang selepas 37 minit perlawanan berlangsung apabila pengadil, Jonathan Moss, melayangkan kad merah kerana kesalahan melakukan terjahan keras ke muka penjaga gol City, Ederson, selepas Sergio Aguero meledak gol pembukaan buat pasukan tuan rumah.

Penyerang Liverpool itu dilihat tidak melakukan kekasaran tersebut dengan sengaja walaupun Ederson terpaksa diusung keluar bagi mendapatkan rawatan.

Guardiola mengesahkan Ederson tidak mengalami kecederaan yang serius, dan menjelaskan bahawa beliau tidak pasti sama ada kad merah seharusnya diberikan kepada Mane.

"Perlawanan ini bersifat terbuka sehinggalah Liverpool kekurangan seorang pemain. Ederson sangat berani, doktor memberitahu bahawa tiada kecederaan yang serius dialaminya. Dia turut menyelamatkan gawang daripada percubaan yang dilakukan oleh Mohamed Salah," kata Guardiola.

"Mane tidak nampak kehadiran Ederson, dia memandang bola tetapi impak yang terkena terlalu kuat. Saya tidak tahu kesalahan itu harus dilayangkan kad merah ataupun tidak.

"Selepas itu, perlawanan lebih mudah untuk kami, kami bermain dengan gaya yang kami inginkan pada separuh masa kedua."