Pep Guardiola menyuarakan kekagumannya terhadap Joe Hart tatkala Burnley dilaporkan hampir mencapai kata sepakat untuk menyelamatkan penjaga gol itu daripada situasi tidak menentu di Manchester City.

Menurut laporan Lancashire Telegraph, Hart bakal menjalani ujian perubatan di Turf Moor menjelang perpindahan bernilai £4 juta (RM21.2j) untuk mengikatnya dengan kontrak selama tiga tahun selain bersetuju dengan gaji yang jauh lebih kecil.

Pasukan bimbingan Sean Dyche itu melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Liga Europa menerusi kemenangan 3-1 ke atas Aberdeen semalam, namun persiapan mereka tergugat susulan kecederaan yang menimpa Nick Pope dan Tom Heaton.

"Kami akan lihat apa yang berlaku pada hari-hari yang akan datang," kata Guardiola ketika ditanya tentang masa depan pemain berusia 31 tahun itu dalam sidang akhbar sempena aksi Perisai Komuniti dengan Chelsea, esok.

"Kami sedar situasi ini, saya mengagumi komitmen dan profesionalismenya dalam setiap sesi latihan," katanya.

Sebaik Guardiola tiba sebagai pengurus City pada 2016, Hart jelas tidak berada dalam perancangannya lalu dipinjamkan kepada Torino susulan ketibaan Claudio Bravo dari Barcelona.

Prestasi tidak menentu Bravo selain penghijrahan Willy Caballero yang kontraknya berakhir, belum cukup untuk pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak dua kali itu kembali merebut tempat dalam skuad City pada musim lalu.

Sekali lagi dia dipinjamkan West Ham berikutan ketibaan Ederson dalam perjanjian £35 juta (RM185.7j) dari Benfica.

Perpindahannya ke timur London terbukti bukan percaturan tepat apabila Hart diketepikan pengurus Hammers, David Moyes, sehingga menyebabkannya gagal mendapat tempat bersama skuad England dalam Piala Dunia 2018.

Dengan kariernya tidak menentu selain masih mempunyai baki kontrak selama setahun di Stadium Etihad, Hart kembali ke City dan membuat penampilan sebagai penjaga gol gantian dalam aksi persahabatan bulan lalu ketika menentang Borussia Dortmund dan Liverpool di Amerika Syarikat (AS) -- kedua-duanya menggantikan Bravo.

Mengenai sama ada City boleh menawarkan elaun kewangan dalam usaha memudahkan perpindahan Hart, Guardiola menambah: "Saya bukan pengarah sukan, saya tidak tahu dengan tawaran itu."