Manchester City dilihat tidak akan cuba mendapatkan pemain baru lagi sebelum tamat jendela perpindahan esok, kata pengurus pasukan, Pep Guardiola.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu hanya melakukan satu pembelian utama ketika musim panas ini apabila membawa masuk Riyad Mahrez dari Leicester City menerusi yuran perpindahan yang memecahkan rekod kelab, bulan lalu.

Seorang lagi pemain tengah bertahan untuk menambah pilihan selain Fernandinho juga menjadi keutamaan City ketika cuba mendapatkan Jorginho, namun pemain tengah Itali itu memilih untuk berhijrah ke Chelsea daripada Napoli.

Jorginho dilihat bergelut bersama The Blues ketika City menundukkan Chelsea 2-0 hasil dua jaringan Sergio Aguero dalam aksi Perisai Komuniti, Ahad lalu, dan selepas perlawanan itu, Guardiola memberi bayangan kemungkinan dia akan cuba mendapatkan seorang lagi pemain baru.

Namun, nadanya itu berubah ketika ditemui dalam satu majlis pelancaran Liga Perdana Inggeris Sky Sports semalam sewaktu bercakap mengenai pilihan di bahagian tengah dalam pasukannya.

"Kami memiliki Fernandinho, Ilkay Gundogan juga beraksi di situ. Dalam aksi menentang Tottenham Hotspur musim lalu, Gundogan beraksi dengan baik mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fernandinho akibat penggantungan," kata Guardiola.

"Bagaimanapun, Gundogan adalah pemain yang bagus di dalam kotak penalti. Corak permainannya lebih mirip seperti Paul Scholes di posisi itu.

"Kami tidak mempunyai banyak pemain di situ tetapi saya rasa kami tidak akan mendapatkan pemain baru lagi musim ini.

"John Stones juga tampak mampu bermain di situ tetapi saya tidak tahu," tambahnya.

Sementara itu, tidak kira sama ada akan wujud pertambahan pemain dalam pasukan atau tidak, kapten pasukan, Vincent Kompany, percaya bahawa rakan sepasukannya kini lebih mengimpikan untuk mempertahankan kejuaraan berbanding ketika gagal melakukannya pada musim 2012/13 dan 2014/15.

"Sebelum bercakap apa-apa, anda pasti mahu melihat jika anda dapat menjumpai kesilapan sama yang dilakukan sebelum ini.

"Saya perlu bersikap jujur. Setiap kali anda memenangi liga dan kembali ke sesi latihan pertama, semua pemain akan menjadi lemah. Lebih banyak senyuman dan keriangan tetapi kurang komited. Situasi itu sebenarnya amat menyakitkan.

"Kali ini, saya tiba ke sesi latihan dan segala-galanya berbeza. Kami sedar ia sesuatu yang berharga dan mahu mengekalkannya," ujar Kompany.