Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji John Stones, tetapi berharap prestasi pertahanan itu akan terus meningkat.

Stones berkembang menjadi salah seorang pemain berpengaruh buat City, yang kini memiliki kelebihan lapan mata di persada Liga Perdana Inggeris menjelang aksi bertemu Leicester City, hari ini.

Guardiola menyifatkan Stones memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kelab selepas berhijrah dari Everton, Ogos lalu.

"Kami tidak boleh melupakan Stones masih lagi cuba untuk menyesuaikan diri beraksi dalam tiga perlawanan setiap minggu," kata Guardiola.

"Dia kini telah menjadi seorang bapa dan ia membantu gaya hidupnya. Stones memiliki kualiti yang istimewa untuk membaca rentak permainan, tenang dan pandai memintas hantaran lawan.

"Dia masih muda dan diharap persembahannya akan menjadi lebih baik pada masa akan datang," ujarnya.

Stones beraksi dalam 90 minit dalam kedua-dua aksi persahabatan untuk England ketika bertemu Jerman dan Brazil.

Guardiola percaya pengalaman Stones bersama City selain beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), merupakan faktor di sebalik peningkatannya.

"Stones kini merupakan pemain yang lebih matang.

"Untuk mendapatkan pengalaman, anda perlu beraksi dalam saingan UCL," ujarnya.