MANCHESTER CITY 2 FULHAM 0

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berharap kecederaan yang dialami bintangnya, Kevin De Bruyne, tidak serius selepas pemain itu cedera di lewat permainan dalam kemenangan 2-0 ke atas Fulham dalam saingan Piala EFL, awal pagi tadi.


Pemain kebangsaan Belgium itu sebelum ini mengalami kecederaan lutut kanan, Ogos lalu yang memaksa dia berehat selama dua bulan dan aksi menentang Fulham itu hanya penampilan liga keduanya musim ini.

Dia hampir berjaya menamatkan masa penuh perlawanan di mana City selesa mendahului dua gol, namun terpaksa dikeluarkan pada minit ke-86 selepas dia ditimpa pertahanan lawan, Timothy Fosu-Mensah.

De Bruyne memaparkan reaksi kesakitan di bahagian lutut kanannya dan Guardiola tidak teragak-agak untuk mengeluarkannya selepas itu.

Walaupun gusar, Guardiola yakin kecederaan yang menimpa penyerangnya itu hanya kecederaan ringan.

"Kevin sudah diperiksa doktor," kata Guardiola kepada wartawan.

"Saya tidak tahu keadaannya kini. Kami tidak tahu sama ada kecederaan itu serius atau tidak.

"Saya berasakan Kevin sudah kembali. Kevin yang kami kenali.

"Dia berusaha keras ketika menentang Shakhtar Donetsk (dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah) dan dia beraksi dalam beberapa minit menentang Tottenham Hotspur dalam keadaan kesakitan.

"Hari ini dia terlibat dengan kekasaran pertahanan lawan.

"Saya berharap apa yang menimpanya di hujung perlawanan itu tidak serius."

Aksi di Stadium Etihad menyaksikan pemain muda Sepanyol, Brahim Diaz, mencuri tumpuan selepas dia menjaringkan dua gol yang memastikan kemaraan City ke suku akhir.

Pemain tengah itu hanya mempunyai kontrak berbaki kurang daripada setengah tahun bersama City dan Guardiola mempunyai keinginan yang tinggi untuk mengekalkannya.

"Semua pemain bermain dengan baik.

"Brahim menjaringkan dua gol, Arijanet Muric tidak dibolosi.

"Kami tidak memberikan lawan banyak peluang dan Phil Foden sentiasa memberikan aksi yang mantap.

"Kami akan melakukan segalanya untuk mengekalkan Brahim. Kami mahukannya, namun keputusan tidak bergantung sepenuhnya kepada kami," tambah Guardiola.