Usaha gigih Kevin De Bruyne di atas padang untuk Manchester City menjadikan wataknya sangat penting buat Pep Guardiola dan pengurus dari Catalan itu mahu mengambil pendekatan berhati-hati dalam menawarkannya rehat yang mencukupi.

De Bruyne, pemain antarabangsa Belgium, telah memulakan kesemua 26 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan telah melepasi larian sejauh 288 kilometer musim ini -- pemain ke-10 terbaik melakukan hal sedemikian -- dan mengakui ia membuatkannya nampak 'teruk' dalam jadual padat ini.

Guardiola mengakui pemain berusia 26 tahun itu mungkin direhatkan, namun kesanggupannya untuk bekerja secara maksimum dalam setiap kesempatan dinilai terlalu tinggi oleh bekas bos Bayern Munich itu.

"Saya tidak mempunyai kata-kata untuk menyatakan penghargaan saya sebagai pengurus," kata Guardiola.

"Contoh saya ialah melalui kata-kata; contoh pemain adalah fakta dan salah satu pemain terbaik yang kami miliki ialah pemain yang paling rajin dan berjuang tinggi.

"Dia adalah contoh yang luar biasa terhadap rakan sepasukan dan di akademi. Dia adalah salah seorang pemain paling berbakat yang pernah saya lihat dalam hidup saya dan tanpa bola, dia adalah seorang pemain yang membuat intensiti seperti ini pada setiap tiga hari.

"Sekiranya dia memerlukan rehat, maka dia memerlukannya. Ia bukan soal letih di sini (kaki), ia letih di sini (mental). Liga Perdana sangat kurang rehat," tambahnya.

Guardiola menegaskan ketiadaan David Silva berikutan masalah kelahiran anaknya selain kecederaan Fabian Delph dan Ben Foden menyekat peluangnya untuk mengetepikan De Bruyne.

Dia berkata: "Pada masa itu (Disember), saya tidak dapat memberi rehat kepadanya kerana David berdepan beberapa masalah peribadi, ia berjalan lancar mengenai anaknya tetapi sekarang dia tercedera.

"Delph dan Foden tercedera, sebab itulah saya tidak dapat membuat banyak rombakan. Sebaik mereka kembali maka saya akan memberi dia rehat.

"Dia kerap bermain dan patut berehat, sebaliknya dia sangat penting bagi kami. Dalam setiap perlawanan, dia mencipta banyak peluang, membantu kami dalam serangan dan bertahan -- selain kami sendiri berjuang untuk perkara-perkara penting.

"Dalam keadaan itu, anda tidak berasa penat. Dia berkata, 'saya letih' tetapi jika ada satu lagi perlawanan tiga hari kemudian, dia sudah bersedia bermain."

Seorang lagi pemain yang menonjolkan dirinya sebagai tokoh utama di City musim ini adalah penjaga gawang, Ederson, yang disifatkan cepat menyesuaikan diri dan mempamerkan peningkatan kualiti berbanding Claudio Bravo.

Guardiola menganggap pemain Brazil itu sebagai salah seorang penjaga gol utama di dunia dan menyokongnya untuk terus berkembang.

"Kami kagum dengan fakta bahawa dia masih muda dan ke sini dari Portugal. Anda tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi dengan serta-merta dia menyesuaikan diri dengan baik," kata pengurus Catalan berkenaan.

"Kami tahu kualitinya. Bahkan, bukan sahaja kualiti hantarannya bagus, malah dia membaca permainan dengan baik. Itulah yang paling sukar dan dia membacanya dengan baik.

"Perkara yang paling penting dari sudut pandangan saya, dia sangat tenang. Apabila dia dibolosi, dia tetap tenang, begitu juga ketika menyelamatkan keadaan, reaksinya sama, dia stabil.

"Dia muda, dia perlu memperbaiki banyak perkara lagi, saya fikir dia adalah salah seorang yang terbaik di dunia dan pada masa akan datang dia akan menjadi lebih kuat."