Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memuji keberkesanan Ilkay Gundiogan dengan menggambarkannya sebagai antara yang terbaik di Eropah dan mengakui terkejut dengan aksi serba boleh pemain itu.

Pemain berusia 29 tahun itu diberikan waktu rehat ketika pasukannya menewaskan Southampton awal pagi Rabu lalu selepas beraksi dalam hampir kesemua perlawanan musim ini.

Gundogan telah beraksi di pelbagai posisi sepanjang tiga tahun di Stadium Etihad dan kini lebih kerap diletakkan di posisi tengah bertahan, posisi di mana dia turut membantu City meraih kejuaraan 'treble' musim lalu.

"Dia amat cerdik sebagai seorang pemain," kata Guardiola kepada wartawan menjelang pertemuan liga dengan Southampton malam ini.

"Salah satu kualiti yang saya amat kagum dengan pemain saya adalah kebijaksanaan mereka, memahami segala yang berlaku dalam permainan dan menyelesaikannnya -- secara menyerang, bertahan, sepantas yang mungkin.

"Dia boleh beraksi di pelbagai posisi. Apabila dia bermain di hadapan kawasan penalti lawan, dia pemain yang akan menjaringkan gol dan memiliki perwatakan.

"Saya tidak menjangkakan dalam tempoh satu atau dua tahun, dia akan menjadi pemain yang tekal di bahagian tengah bertahan dan mempertahankan posisi itu.

"Secara jujurnya, dia pemain yang amat berkesan.

"Dia adalah antara pemain terbaik di Eropah," katanya.

Pemain baru yang didatangkan dengan harga tinggi, Rodri, masih bergelut dengan kecederaan paha manakala Fernandinho pula kerap diletakkan di posisi pertahanan tengah yang mengakibatkan City kekurangan pemain di jentera tengah.

Gundogan digunakan untuk mengisi kekurangan itu dan tersenarai pendek sebagai calon Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris bagi bulan Oktober.

Begitupun, Guardiola sebelumnya tidak menyedari bekas pemain Borussia Dortmund itu lebih gemar untuk beraksi di posisi yang lebih ke bawah.

"Adakalanya ia berlaku apabila kami tidak memiliki banyak alternatif.

"Sebelum ini, saya menggunakan pemain lain di posisi itu dan bukannya Gundoggan kerana saya tidak menyedarinya.

"Lihatlah betapa silapnya saya!

"Apabila saya tiada pilihan lain di posisi itu, saya meletakkannya di posisi itu dan kemudian, 'wow'.

"Lihatlah betapa agresifnya dia tanpa bola, dia tahu setiap pergerakan yang diperlukannya dalam perlawanan.

"Sudah pasti dia bukan pemain tengah bertahan yang asli tetapi kami memerlukan seseorang yang boleh bertahan.

"Apabila Fernandinho diketepikan musim lalu, Gundogan beraksi di posisinya dan dia amat hebat, cemerlang dalam setiap aspek sepanjang permainan," katanya lagi.