Pep Guardiola tidak mahu fokusnya terlalu ke depan memikirkan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris tatkala Manchester City mahu menewaskan Newcastle United malam ini.

Juara bertahan itu menduduki tangga ketiga selepas 13 perlawanan, ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool, yang mengatasi anak buah Guardiola itu di Anfield awal bulan ini.

City bakal melakukan sepak mula Liga Perdana Inggeris bagi saingan minggu ini menentang Newcastle dan berpeluang untuk naik ke tangga kedua dengan memintas Leicester City, sekurang-kurangnya untuk sementara.

Ia akan menjadi sasaran City di St James' Park sambil bekas pemain Sepanyol itu menegaskan dia tidak mahu memikirkan tentang keseluruhan musim ini.

"Saya tidak fikir jumlah perlawanan yang kami perlu menang. Saya tahu kami tidak boleh tewas," katanya.

"Sejujurnya, saya tidak fikirkan kejuaraan liga ketika ini. Saya tidak pernah fikirkannya walaupun dalam tahun di mana kami bergelar juara.

"Untuk menjadi juara, kami harus merapatkan diri dengan Leicester terlebih dahulu sebelum mengejar Liverpool.

"Sasarannya, apabila anda beraksi dalam kejohanan berbeza untuk setiap tiga hari, adalah perlawanan seterusnya. Anda memilih pemain terbaik untuk sesuatu perlawanan dan cuba menang."

City terpaksa berhempas-pulas sebelum mencipta kemenangan dalam pertemuan sebelum ini dan berdepan cabaran sukar daripada Newcastle musim lalu.

"Dalam dua musim terakhir, kami menang 1-0 bagi musim 2018-19 sebelum tewas 2-1. Newcastle sentiasa menjadi salah satu persekitaran dan stadium yang bagus di England," tambahnya.

"Jelas sekali ia adalah tugas sukar tetapi kami akan menentang Burnley, Selasa depan sebelum aksi setempat berdepan Manchester United, jadi kami sedar dengan situasi yang dihadapi.

"Semalam, kami berlatih dengan baik. Saya lihat pasukan sudah sedia. Kami akan ke sana tengah hari nanti sebelum cuba untuk mempamerkan permainan mantap dalam perlawanan."