Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, mahu Sergio Aguero serta kapten, Vincent Kompany, kekal di Etihad, namun kedua-duanya perlu menerima hakikat mereka bukan lagi tonggak utama kelab itu.

Kompany dan Aguero akan selamanya menjadi simbol kejayaan City sejak kelab itu diambil alih oleh Sheikh Mansour, dengan pemain pertahanan itu merangkul segala kejuaraan di England -- paling iingati ketika meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada tahun 2012 selepas 44 tahun hasil jaringan Aguero menentang QPR pada hari terakhir musim itu.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain kini sering mengalami kecederaan otot, dengan Kompany paling menerima impak daripada kecederaan tersebut.

Menjelang aksi berdepan Bournemouth pada awal pagi esok, Guardiola memberitahu media bahawa mereka diketepikan kerana mempertimbangkan prestasi pemain lain.

Spekulasi tentang masa depan Aguero paling hangat dibincangkan tatkala posisinya kini diisi pemain muda sensasi, Gabriel Jesus, yang berjaya mencipta impak ketika berdepan West Ham dan Swansea City baru-baru ini.

"Sergio tahu niat kelab ini," jelas bekas pengendali Barcelona itu. "Saya tidak mahu menjualnya, saya mahu dia kekal bersama kami.

"Sebab utama dia tidak beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini adalah Leroy (Sane), Gabriel dan Rash (Raheem Sterling) bermain dengan cukup baik.

"Kalau boleh, saya mahu keempat-empat mereka ini beraksi tetapi saya lebih gembar memberi tumpuan kepada bahagian tengah.

"Jika salah seorang daripada mereka tidak beraksi, Aguero akan mengisi slot itu."