Pep Guardiola menghamburkan pujian terhadap Marcelo Bielsa dan melabelnya sebagai jurulatih terbaik dunia selepas pakar taktikal dari Argentina itu mengesahkan akan kembali bertugas dengan mengurus pasukan Ligue 1, Lille, musim depan.

Bekas bos Argentina, Chile dan Athletic Bilbao itu bersetuju dengan tawaran kontrak selama dua tahun dan akan memulakan tugas pada 2017-18 nanti.

Ia merupakan tugasan pertamanya sejak meninggalkan Lazio secara kontroversi Julai lalu, selepas hanya dua hari bertugas.

Guardiola sudah lama mengagumi pelan taktikal rumit dan inovatif yang diketengahkan Bielsa yang menjadi panduan pendekatan dalam karier kejurulatihannya.

Tidak hairanlah, pengurus Manchester City itu menyanjung tinggi Bielsa, 61, dalam sidang media menjelang aksi Liga Juara-Juara dengan AS Monaco -- pasukan yang sedang menerajui saingan di Perancis.

"Saya sangat mengagumi Marcelo Bielsa kerana dia mampu mengubah pemain-pemain menjadi tersangat-sangat bagus," kata Guardiola.

"Sehingga kini, saya masih belum terdengar mana-mana bekas pemainnya yang mengkritiknya.

"Mereka sangat berbesar hati dengan pengaruhnya dalam karier bola sepak mereka.

"Dia banyak memberi saya panduan berguna. Setiap kali saya bercakap dengannya, ia seperti dia mahu membantu saya."

Bielsa menjulang tiga gelaran liga di Argentina dan memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2004 di tempat sendiri.

Namun, Guardiola enggan menjadikan jumlah trofi sebagai ukuran kejayaan Bielsa.

"Adalah penting buat saya untuk mengatakan tentang perkara ini mengenai Marcelo tanpa mengambil kira berapa banyak kejayaan yang telah diraih dalam kariernya," tambah pengurus dari Sepanyol itu.

"Ketika ini, kami diadili dengan itu -- berapa banyak kejayaan yang telah diraih, berapa banyak gelaran yang kami menangi.

"Tapi tiada yang lebih penting tentang bagaimana dia memberi kesan kepada bola sepak dan pemain-pemainnya.

"Sebab itulah, bagi saya, dia adalah jurulatih terbaik di dunia. Saya teruja untuk melihat dia mengendalikan Lille musim depan.

"Saya percaya dia akan memberi pengaruh besar untuk pasukan itu, kelab dan pemain-pemainnya. Saya sangat yakin mengenainnya."