Pep Guardiola memberi amaran terhadap usaha menghasilkan permainan menghampiri kesempurnaan sambil menegaskan Manchester City akan sentiasa berusaha mengekalkan keharmonian skuad.

Trio utama, Kevin De Bruyne, Fernandinho dan Nicolas Otamendi kesemuanya komited menerima tawaran baru di Stadium Etihad bulan ini, dengan City terbang tinggi di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Empat kejuaraan masih menjadi buruan Guardiola selepas mereka layak ke final Piala Liga Inggeris (EFL), namun pengurus itu membantah tanggapan bahawa dia memiliki skuad yang sempurna.

"Otamendi, Fernandinho dan De Bruyne telah melanjutkan kontrak mereka dan kami begitu gembira kerana mereka terus bersama kami pada masa depan, ia berita terbaik minggu lalu," katanya.

"Begitupun kami tidak pernah dekat dengan kesempurnaan. Kalau anda menyangka kami tetap utuh dalam tempoh tiga tahun akan datang, itu adalah satu kesilapan.

"Pemain yang tidak bermain secara kerap akur dengan kedudukan mereka. Mungkin pada musim depan, mereka tidak boleh menerima hakikat itu lagi dan angkat kaki.

"Anda sentiasa perlu menyelesaikan situasi seperti ini tahun demi tahun," katanya.

Guardiola akan membimbing anak buahnya ke Cardiff City untuk aksi Piala FA esok.