Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memberi amaran keras kepada pasukannya agar jangan berasa selesa selepas mempamerkan permulaan baik musim ini.

City meneruskan dominasi Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 di Leicester City, awal pagi semalam, yang menyaksikan mereka mengekalkan kelebihan lapan mata di puncak carta.

Skuad Guardiola telah memenangi 11 daripada 12 perlawanan liga, menjaringkan 40 gol dan melepaskan hanya tujuh gol.

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata tidak ada peluang buat pasukannya berasa puas hati walaupun memperagakan prestasi menakjubkan.

"Itu tidak akan berlaku kerana saya pengurus mereka," kata Guardiola.

"Saya akan 'bunuh' mereka. Sikap berpuas hati tidak berlaku dalam pasukan saya. Mereka boleh bermain buruk, pasukan lain akan menewaskan kami.

"Tetapi jika anda melihat pasukan, mereka mempunyai keinginan untuk memenangi bola," katanya lagi.

City akan menjadi tuan rumah dalam pertemuan menentang Feyenoord dalam Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Rabu ini, dan sudah mengesahkan tempatnya dalam pusingan 16 kejohanan itu.