MANCHESTER CITY 3 WATFORD 1

Pep Guardiola mendakwa perlawanan pada Krismas akan "membunuh pemain" selepas Kyle Walker ditimpa masalah dalam kemenangan Manchester City ke atas Watford.


Pemain pertahanan England itu ditimpa kecederaan pangkal paha sebelum wisel terakhir ditiupkan dalam kemenangan selesa 3-1 pasukannya di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Selepas Gabriel Jesus terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan lutut ketika seri di Crystal Palace, dua hari sebelum itu yang mungkin menyisihkannya sekurang-kurangnya selama sebulan, Kevin De Bruyne -- yang memulakan permainan menentang Watford -- turut tercedera di Selhurst Park.

Sebelum sepak mula, Guardiola menyatakan kekhuatirannya mengenai jadual Liga Perdana Inggeris (EPL) serta perebutan trofi dan dia kembali mempersoalkan penganjur selepas menyaksikan pasukannya menjarakkan kedudukan di puncak dengan kelebihan 15 mata.

"Kami bermain dengan baik selepas kehilangan dua mata, kami bercakap tentang reaksi kami kerana pasukan besar tergelincir tetapi tidaklah terlalu banyak," katanya kepada BBC Sport.

"Kami membuat lima perubahan daripada permainan terakhir tetapi ia bukan kesalahan kami. Saya tahu di England, persembahan mesti diteruskan tetapi ia tidak normal. Pengurus-pengurus harus memberi tindak balas.

"Kita akan membunuh pemain tetapi Persatuan Bolasepak (FA) England tidak fikir tentang pemain, namun mereka perlu bermain 11 bulan berturut-turut, mereka harus melindungi mereka. Ia tidak akan berlaku.

"Watford menjaringkan gol kerana mereka mempunyai pemain yang bagus. Kami akan mengkaji semula gerakan itu tetapi orang tidak boleh mengharapkan kami sentiasa menang 7-0," katanya.

Guardiola mengakui De Bruyne beraksi dalam kesakitan kerana dia terdesak untuk terlibat dalam langkah terbaru City memburu gelaran.

"Kevin mengalami keradangan dan kami berkata 'mungkin anda direhatkan dan tidak bermain' tetapi dia menyatakan mahu bermain," kata Guardiola.

"Dia menanggung sedikit kesakitan tetapi tetap mahu beraksi. Ia membuktikan bahawa dia mahu memenangi EPL, kami mahu mencontohinya."

Jaringan Raheem Sterling, Sergio Aguero serta gol sendiri Christian Kabasele memastikan kemenangan City meskipun dibolosi gol lewat Andre Gray.

City akan menjadi tuan rumah kepada Burnley dalam aksi Piala FA, Sabtu ini sebelum berdepan Bristol City dalam separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL), Selasa depan.