MANCHESTER CITY 5 MONACO 3

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, memberi amaran bahawa pendahulu Ligue 1, AS Monaco, mampu menjaringkan 'beribu-beribu, berjuta-juta gol' dalam pertemuan kedua pusingan 16, Liga Juara-Juara.


Pertembungan pertama di antara kedua-kedua pasukan di Stadium Etihad awal pagi tadi berakhir 5-3 menerusi dua gol sumbangan Sergio Aguero dan masing-masing satu gol daripada Raheem Sterling, John Stones dan Leroy Sane manakala Willy Caballero menyelamatkan sepakan penalti ketika tuan rumah ketinggalan 2-1.

Begitupun, Guardiola sedar aksi timbal balik nanti bukan mudah kerana Monaco memiliki reputasi sebagai kelab Eropah yang mengumpul gol terbanyak melebihi 100 angka dalam semua kejohanan, musim ini.

"Andai ada sebuah pasukan yang mampu menjaringkan beribu-ribu, berjuta-juta gol, ia adalah Monaco," kata Guardiola.

"Untuk mengelak serangan balas adalah amat-amat sukar. Mereka sangat pantas dengan adanya Thomas Lemar dan Benjamin Mendy.

"Jelas sekali, kami perlu memperbaiki persembahan kami. Gol pertama adalah kerana kesilapan kami, begitu juga dengan jaringan kedua.

"Tapi, kami tidak berputus asa, kami berjuang.

"Kami bernasib baik dalam beberapa situasi babak kedua, malah kami juga tidak bernasib baik.

"Kami akan ke Monaco utnuk menyumbat gol, itu adalah matlamat saya. Kami tidak akan mempertahankan keputusan ini.

"Kami semakin serasi sekarang. Kami akan membuat sedikit rombakan, begitu juga mereka. Sukar untuk lolos kalau kami tidak menjaringkan gol.

"Banyak yang telah berlaku, jadi segala-galanya masih lagi terbuka.

"Sudah tentu saya gembira dengan keputusan ini kerana cabaran kami masih belum berakhir.

"Bagi kebanyakan pemain, ini adalah pengalaman pertama mereka dalam Liga Juara-Juara dan situasi seperti ini boleh membantu kelab ini untuk melepasi langkah berikutnya.

"Kami perlu menyesuaikan diri dengan situasi ini, mempunyai masalah dan mengatasinya.

"Jangan sesekali berputus asa. Itu sebabnya kami masih terus berjuang."