Bekas ketua pasukan Barcelona, Xavi Hernandez, percaya bekas bosnya, Pep Guardiola, akan mencetuskan revolusi bola sepak di England.

Xavi memainkan peranan besar dalam kejayaan Guardiola di Barcelona yang membawa kepada kemenangan 14 trofi.

Bercakap kepada BBC Sport, bekas pemain tengah Sepanyol itu percaya tugas Guardiola di Manchester City akan memberi implikasi kepada corak permainan Inggeris.

"Jika ada orang yang mampu mengubah mentaliti pemain dan bola sepak Inggeris, ia adalah Pep Guardiola," kata Xavi.

"Beliau adalah salah seorang jurulatih terbaik. Dengan personaliti, usaha dan obsesi beliau terhadap tugas, peluang beliau terbuka luas.

"Mungkin akan ada revolusi besar dengan Pep Guardiola. Sekarang, anda dapat melihat Manchester City dengan gaya Pep.

"Semangatnya terhadap bola sepak, mentaliti, gaya, semuanya bagus di bawah Pep Guardiola, beliau benar-benar salah seorang jurulatih terbaik masa ini.

"Dia obses tentang gaya beliau. Beliau sangat mempercayainya. Beliau sentiasa mahukan kawalan dalam permainan, beliau mempunyai pemahaman permainan dan berkongsinya dengan pemain.

"Kami mencipta sejarah bersama beliau di Barcelona, beliau adalah seorang jurulatih yang hebat dan menjadi kenangan yang hebat untuk semua orang di Barcelona.

"Barcelona sentiasa mempunyai jurulatih terbaik, namun Guardiola telah mencipta revolusi dalam bola sepak, bukan sahaja di Barcelona, tetapi juga di dunia bola sepak.

"Bagi saya, beliau adalah contoh jurulatih dan sebagai pemain, beliau adalah sumber rujukan yang hebat.

"Sudah tentu beliau akan naik angin. Apabila anda melihat Pep Guardiola di bangku simpanan, anda dapat melihat semangatnya dan beliau mampu memindahkan semangat itu kepada pemain. Saya kenal beliau dan saya tahu beliau akan melakukannya ke atas pemain."

City kini menerajui EPL selepas melakar enam kemenangan dalam tujuh perlawanan.