Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menganggap jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai satu bencana kepada pemain tetapi mereka harus menyesuaikan diri dengannya.

City menamatkan tahun 2017 dengan tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari, pertembungan terakhir mereka adalah ketika menentang Crystal Palace, Ahad lalu, yang menyekat rentetan kemenangan mereka kepada 18 perlawanan.

Pendahulu liga itu beraksi di bawah tahap sebenar untuk seri 0-0 di Selhurst Par, dan Guardiola tidak terkejut dengan keputusan itu memandangkan kepadatan jadual perlawanan.

Anak buah Guardiola tidak bercadang untuk memperlahankan rentak ketika bertemu Watford, awal pagi esok, sebelum pertembungan dengan Burnley dan Bristol City dalam perebutan trofi Piala FA dan Piala Liga Inggeris (EFL) untuk melengkapkan enam perlawanan dalam tempoh 18 hari.

Ia adalah sesuatu yang tidak diminati pengurus dari Sepanyol itu, namun dia enggan mengeluh dengan menyatakan mereka perlu bersedia untuk menghadapinya.

"Ia satu tradisi tetapi sudah tentu ia tidak bagus untuk pemain," katanya dalam sidang akhbar menjelang pertembungan dengan Watford. "Tetapi, pemain perlu menyesuaikan diri.

"Musim lalu, kami kalah (kepada Liverpool) dan dua hari kemudian bertemu Burnley dan bermain sepanjang 65 minit dengan kekurangan seorang pemain.

"Jika anda bertanyakan saya apakah ia secara teknikalnya baik untuk fizikal pemain? Tidak. Ia adalah satu bencana.

"Tetapi liga adalah liga, mereka memutuskan untuk mengadakan perlawanan semasa Krismas dan tentu saja kami akan menyesuaikan diri.

"Kadang-kala, anda mempunyai tiga hari untuk pemulihan, kadang-kadang dua atau empat hari, jadi semua pasukan adalah sama.

"Musim lalu, kami kurang mendapat pemulihan daripada musim terdahulu, mungkin musim depan kami akan mendapat kurang atau lebih.

"Dengan perkara-perkara semacam ini, saya boleh memberikan pendapat saya tetapi adakah anda percaya ia akan mengubah sesuatu? Tidak ada caranya."

Sementara itu, Guardiola yakin The Citizens akan kembali di landasan kemenangan EPL apabila bertemu Watford, awal pagi esok.

"Karakter itu sentiasa ada, anda tidak akan dapat meraih pencapaian seperti musim ini andai tidak memilikinya," katanya lagi.

"Karakter itu perlu anda buktikan setiap hari, setiap kali. Pasukan gergasi akan segera melupakan keputusan yang lepas, mereka pantas mengalihkan tumpuan kepada aksi seterusnya, itulah yang kami cuba lakukan di kelab ini."