Sergio Aguero layak menerima segala pujian selepas menjaringkan empat gol bagi membantu Manchester City menewaskan Leicester City 5-1, awal pagi tadi.

Pendapat itu disuarakan pengendali pasukan, Pep Guardiola, selepas menyaksikan anak buahnya bangkit setelah diikat seri oleh Burnley minggu lalu.

Tindakan Guardiola memberikan tiga hari cuti buat barisan pemainnya nyata berbaloi apabila The Citizens mempamerkan aksi luar biasa dalam babak kedua untuk menafikan kebangkitan The Foxes.

Pengurus dari Sepanyol itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas melihat Aguero menamatkan perlawanan dengan empat gol dan Kevin De Bruyne mencatat tiga bantuan jaringan, termasuk aksi secara berpasukan yang hebat.

"Kami bermula baik dengan gol pertama, namun mula hilang arah selepas itu. Kami tidak dapat bermain dengan lebih pantas dan sering berada dalam posisi yang tidak sepatutnya.

"Separuh masa kedua, kami dapat mengawal permainan dengan aksi terbaik, terutama Aguero.

"Apabila seorang pemain mencatatkan empat jaringan dalam satu perlawanan, dia layak menerima semua pujian. Dia membuktikan dirinya sangat penting kepada kami.

"Hari ini adalah antara aksi terbaik pernah kami tampilkan, terutama apabila anda berdepan pasukan hebat seperti Leicester," katanya.

Bagaimanapun, Guardiola tetap berpijak di bumi yang nyata dan tidak mahu berpuas hati selagi belum dapat menjulang trofi liga.

"Saya tidak nafikan jarak mata ketika ini agak jauh tetapi saya tidak tahu apa akan jadi selepas ini walaupun kami mempunyai 72 mata sehingga Februari.

"Benar, kami menikmati enam atau tujuh bulan yang menakjubkan tetapi kami harus menunggu sehingga Vincent Kompany menjulang trofi kejuaraan liga," tambahnya.