Pep Guardiola tidak berniat untuk mengetepikan Sergio Aguero sebagai pengambil sepakan penalti dan memberikan sokongan kepada penyerang itu untuk mempamerkan aksi cemerlang ketika bertemu Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara.

Aguero gagal menyempurnakan sepakan penalti buat kali kedua ketika City seri 1-1 dengan Everton, selepas dia gagal meledak masuk sepakan penalti untuk Argentina ketika berdepan Paraguay dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Bekas penyerang Atletico Madrid itu turut gagal menyumbat masuk dua sepakan penalti dalam satu perlawanan ketika bertemu Steaua Bucharest pada Ogos.

Tetapi pengendali pasukan, Guardiola, yang menyaksikan Kevin De Bruyne turut gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika bertemu Everton, meletakkan kepercayaan kepada Aguero untuk mengambil sepakan penalti dalam perlawanan yang akan datang.

"Saya gemar dengan pemain yang memiliki personaliti ketika mengambil sepakan penalti," ujar Guardiola.

Aguero tidak beraksi dalam kesebelasan utama pasukan ketika bertemu Everton tetapi Guardiola menerangkan aksi perlawanan antarabangsa adalah sebab Aguero direhatkan, bukan kerana masalah kecederaan.

"Aguero berlatih dalam satu sesi latihan selepas pulang daripada perlawanan antarabangsa dan saya mahu mencuba setiap pemain."