Pemain Liverpool, Marko Grujic, telah menandatangani kontrak baru bersama pasukannya, namun akan mengharungi musim ini secara pinjaman di Jerman apabila menyertai Hertha Berlin.

Kontrak baru itu dilaporkan akan membolehkan pemain tengah Serbia itu kekal di Anfield sehingga 2023.

Grujic tampak memiliki peluang untuk menjadi sebahagian daripada perancangan dalam skuad kendalian Jurgen Klopp itu selepas Liverpool menolak tawaran pinjaman daripada Cardiff City, kelab yang diwakilinya dalam separuh kedua musim lalu.

Namun, pemain berusia 22 tahun itu akan menyertai pasukan bimbingan Pal Dardai dan kini perpindahan itu bergantung kepada urusan antarabangsa.

"Hertha Berlin adalah kelab yang hebat dan aksi Bundesliga sentiasa memberi inspirasi kepada saya," kata Grujic.

"Saya mempunyai beberapa tawaran tetapi tiada kelab yang begitu mengambil berat tentang saya berbanding Hertha, sekali gus memberikan saya keyakinan untuk membantu pasukan."

Grujic hanya meraih lapan penampilan liga bersama Liverpool sejak tiba dari Red Star Belgrade pada Januari 2016.