Squawka melaporkan bahawa The Gunners bakal membuat bidaan bagi membawa masuk Antoine Griezmann dan Marco Reus sekiranya gagal menyelesaikan isu kontrak melibatkan Alexis Sanchez dan Mesut Ozil.

Sanchez dan Ozil masih belum menandatangani kontrak pembaharuan ketika ini tatkala permintaan mereka masih gagal dipenuhi Arsenal.

Pengendali Arsenal, Arsene Wenger, percaya pasukannya kini sudah lengkap, namun dia kini semakin terdesak ekoran dua bintang utamanya masih belum menandatangani kontrak baru.

Wenger juga sedar bahawa jika isu itu berlarutan, kedua-dua pemain tersebut mempunyai kuasa untuk menghabiskan kontrak mereka sehingga 2018, sekaligus meninggalkan kelab itu secara percuma.

Kelab terletak di Utara London itu telah kehilangan dua bintang utama sebelum ini, Samir Nasri (Manchester City) dan Robin van Persie (Manchester United), ketika kontrak kedua-dua pemain itu memasuki tahun terakhir.

Enggan perkara sama berulang, Wenger dilaporkan sedang membuat pertimbangan untuk membawa masuk Griezmann dari Atletico Madrid dan Reus dari Borussia Dortmund sekiranya Sanchez dan Ozil berhijrah.

Sanchez dan Ozil meminta bayaran gaji lebih daripada GBP200,000 (RM1.1juta) seminggu, namun timbul dakwaan bahawa tindakan mereka itu adalah bagi menarik minat pasukan gergasi Eropah lain.

Bagaimanapun, The Gunners yakin Ozil -- pembelian termahal Arsenal dengan GBP42 juta (RM230 juta) -- akan menandatangani kontrak baru tatkala pemain itu sudah pun menyesuaikan diri dengan kehidupan di London di samping menghormati Wenger.

Sanchez, yang kini menerima bayaran GBP135,000 (RM741,000) seminggu, dilaporkan telah ditawarkan kontrak bernilai GBP400,000 (RM2.1 juta) seminggu oleh Hebei China Fortune -- kelab bola sepak yang bersaing dalam Liga Super China -- di samping menjadi sasaran Manchester City, Juventus dan Bayern Munich.

Pemain berusia 28 tahun itu turut mengakui sedang bergelut dengan kehidupan di London sejak berhijrah dari Barcelona pada tahun 2014.

Pada masa sama, kontrak Wenger turut akan berakhir pada hujung musim ini.

Meskipun Arsenal telah pun berkata ia bersedia menawarkan kontrak pembaharuan, namun Wenger menegaskan dia hanya akan membuat keputusan pada April atau Mei tahun depan.