Antoine Griezmann mendedahkan Paul Pogba tetap bersemangat tinggi sambil menyokong pemain tengah Manchester United itu untuk membuktikan keraguan terhadapnya dalam perlawanan persahabatan bersama Perancis.

Gabungan prestasi buruk, kecederaan dan masalah kesihatan menyaksikan Pogba hanya beraksi dalam empat perlawanan kebelakangan ini manakala spekulasi terus mengaitkan perbalahannya dengan pengurus, Jose Mourinho.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, pada minggu ini mengakui pemain berusia 25 tahun itu "tidak boleh berasa gembira" dengan situasi di Old Trafford.

Griezmann, bagaimanapun, menegaskan rakan sepasukannya itu berada dalam suasana positif dan menjangka dia dapat bermain dengan baik apabila Perancis menghadapi Colombia dan Russia, bulan ini.

"Dia menyertai skuad dengan senyuman lebar di wajahnya," kata Griezmann dalam sidang akhbar. "Dia gembira. Bukan mudah apabila anda tidak bermain atau ketika anda berasa gagal menghasilkan aksi terbaik, ia juga berlaku kepada saya dan dia sedar mengenainya.

"Dia masih boleh bergembira dan bekerja keras. Yang paling penting, terserah kepadanya untuk membuktikan dan menunjukkan bahawa dia masih berkebolehan.

"Jurulatih menaruh kepercayaan kepadanya, begitu juga dengan keseluruhan skuad, kami memerlukan Paul yang tersenyum dan efisien di padang," katanya.

Masa depan Griezmann sekali lagi menjadi topik hangat minggu ini. Bintang Atletico Madrid itu memberitahu L'Equipe bahawa dia tidak mahu terlibat dengan Piala Dunia tanpa mengetahui di mana dia akan beraksi pada musim depan.

Barcelona kerap dikaitkan dengan perpindahan penggempur berkenaan, namun dia menegaskan masih belum pasti akan meninggalkan Atletico pada penghujung 2017-18.

"Masa depan saya akan diputuskan sebelum Piala Dunia," katanya. "Saya berkata demikian kepada kelab dan kakak saya. Tidak ada kebimbangan mengenainya.

"Saya berdepan permulaan rumit musim ini tetapi saya gembira di Madrid dan kami sedang menuju ke hadapan.

"Saya mahu memenangi trofi. Saya rasa saya mampu melakukannya bersama Atletico. Masih banyak yang boleh dipelajari daripada jurulatih," ujarnya.