Bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann, memberi bayangan mengenai minatnya untuk berhijrah ke Manchester United pada masa akan datang selepas mengakui dia mempunyai keinginan untuk beraksi bersama Paul Pogba.

Pemain antarabangsa Perancis itu kerap dikaitkan dengan perpindahan dari Vicente Calderon berikutan prestasi cemerlang dalam tempoh 12 bulan lalu, dengan Manchester United dan Paris Saint-Germain antara yang paling kerap dikhabarkan berminat untuk mendapatkannya.

Griezmann dan Pogba telah berkongsi beberapa gambar mereka bersama-sama di media sosial, dengan yang terbaru menunjukkan mereka pulang ke pangkalan pusat latihan skuad kebangsaan, dengan duduk di belakang kereta golf.

Persahabatan pasangan itu telah sering dikaitkan menjadi faktor utama dalam apa sahaja percubaan Jose Mourinho untuk menarik minat pemenang kasut emas Euro 2016 itu ke Old Trafford.

Walaupun Griezmann menegaskan dia gembira dengan kehidupan di Atletico dan tidak bercadang untuk melakukan perpindahan, dia telah menyatakan jika ada peluang untuk bermain bersama Pogba di peringkat kelab pada masa akan datang, ia merupakan suatu perkara yang sukar untuk ditolak.

"Perpindahan pada masa depan bergantung kepada bagaimana perasaan saya," katanya kepada Sky Sport di Jerman.

"Buat masa ini, saya merupakan seorang ayah dan berpindah ke negara lain bukan perkara yang tepat. Bagaimanapun, saya akan menilai semula jika saya mahu melakukan sesuatu pada masa akan datang.

"Ketika ini, saya amat gembira di Atletico dan saya masih mahu memenangi trofi bersama kelab itu.

101116GriezmannPogba


"Saya selalu bertanya kepada Pogba mengenai Manchester United. Saya fikir United merupakan sebuah kelab yang besar dengan infrastruktur yang benar-benar hebat. Saya juga bertanya kepada Pogba mengenai beberapa pemain -- jika mereka benar-benar baik dan Mourinho benar-benar bagus.

"Anda banyak mendengar tentang perpindahan tetapi akhirnya ia adalah sama untuk United dan juga PSG. Buat masa ini, saya tidak bercadang untuk berpindah ke kelab baru. Bagaimapaun, ia tentu hebat jika dapat bermain bersama Pogba satu hari nanti."