Bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, diumumkan sebagai pengendali baru Harimau Malaysia bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee.

Ia langkah pertama yang dilakukan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebaik mendapat mandat sebagai peneraju badan induk itu.

Gomez -- jurulatih kelahiran Argentina -- pernah membantu JDT menjuarai Liga Super pada musim 2015 dan 2016 selain menjulang Piala AFC pada 2015.

Kim Swee pula ditugaskan untuk skuad B-22 negara yang bakal menggalas tanggungjawab dalam Sukan SEA pada 19-31 Ogos depan.

Tunku Ismail -- yang menang tanpa dicabar bagi jawatan presiden baru dalam Kongres FAM Ke-53 bagi penggal 2017-2021, hari ini -- menegaskan beliau sudah mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang dalam usaha memulihkan imej bola sepak negara.

Skuad B-22 sedang mengharungi Kejohanan Piala Dubai yang dikendalikan oleh Frank Bernhardt dari 20 hingga 28 Mac ini.