Joe Gomez bakal kembali dalam skuad Liverpool menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Paris Saint-Germain (PSG), kata pengurus pasukan, Jurgen Klopp.

Pertahanan England itu melakukan 11 penampilan musim ini tetapi tidak beraksi dalam kemenangan 3-0 ke atas Watford, semalam.

Namun, dia boleh beraksi dalam kunjungan ke Paris, Rabu ini, tatkala liverpool kini menduduki tangga kedua Kumpulan C, satu mata mengatasi PSG.

"Dalam detik terakhir sesi latihan semalam, Gomez mengalami kecederaan," ujar Klopp selepas kemenangan di Vicarage Road.

"Kami memikirkan untuk membawanya dan melihat pada waktu pagi. Dia berkata kini 80 peratus lebih baik dan itu bagus. Jadi, dia tidak meragukan untuk aksi Rabu nanti.

"Namun, kami mempunyai Trent Alexander-Arnold dan Dejan Lovren yang cergas sepenuhnya, jadi kami tidak perlu membuat keputusan.

"Jelas sekali dia direhatkan agar dapat segera pulih dan kini bersedia untuk aksi di Paris."

Alexander-Arnold menjaringkan gol hebat menerusi sepakan percuma sambil Mohamed Salah dan Roberto Firmino masing-masing menyumbat satu gol ketika berdepan The Hornets.

PSG mungkin akan turun tanpa bintang, Kylian Mbappe dan Neymar, selepas kedua-duanya terlepas aksi Ligue 1 menentang Toulouse yang berakhir dengan kemenangan, lewat malam semalam.

Kecederaan paha dan bahu yang diterima kedua-dua pemain itu dialami sewaktu mewakili Brazil dan Perancis.