HUDDERSFIELD TOWN 1 FULHAM 0

Fulham terpaksa menggantikan Huddersfield Town di kedudukan tercorot liga selepas tewas 0-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris yang turut menyaksikan The Terriers menamatkan penantian jaringan di laman sendiri, awal pagi tadi.


Huddersfield sebelum ini melewati 658 minit tanpa sebarang gol di laman sendiri dengan kali terakhir menyaksikan Tom Ince menjaringkan gol di Stadium John Smith, April lalu.

Bagaimanapun, jaringan sendiri daripada pertahanan Fulham, Timothy Fosu-Mensah, menamatkan ketandusan itu sewaktu aksi perlawanan berusia 29 minit yang kemudian menyaksikan Huddersfield turut meraih kemenangan pertama musim ini.

Andre Schurrle berjaya menemui jaringan buat pelawat, namun gerakan awal daripada Aleksandar Mitrovic terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Keputusan tepat daripada penjaga garisan itu memaksa Fulham akur menerima satu lagi kekalahan yang menambah tekanan kepada pengurus pasukan, Slavisa Jokanovic.

Aksi di awal permainan menyaksikan palang menjadi halangan gol pembukaan tuan rumah susulan percubaan kaki kiri Philip Billing.

Penyerang, Steve Mounie, melakukan tandukan yang melewati palang gol sebelum rembatan Alex Pritchard terbias ke badan penjaga gawang, Sergio Rico, yang hampir menamatkan penantian Huddersfield.

Penantian tersebut berakhir tidak lama selepas itu menerusi dua sepakan sudut berturut-turut yang gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh Fulham sebelum Christopher Schindler melakukan tandukan tajam yang terkena Fosu-Mensah untuk gol tunggal perlawanan.

Florent Hadergjonaj jelas bernasib baik selepas hampir memberi padah buat tuan rumah dengan terjahan yang dilakukannya ke atas Denis Odoi hanya berada di luar kawasan penalti.

Pritchard turut melakukan percubaan menarik dalam babak kedua sebelum Schurrle sekali lagi terlepas peluang terbaik menjadi penjaring buat Fulham untuk mereka terpaksa akur melalui kekalahan liga kelima berturut-turut musim ini.