DERBY COUNTY 2 LEICESTER 2 CITY

Ketua pasukan Leicester City, Wes Morgan, menyelamatkan maruah The Foxes apabila gol tandukannya di penghujung permainan mengheret pertembungan Piala FA mereka ke perlawanan ulangan selepas seri 2-2, awal pagi tadi.

Dua kali Derby County mendahului tapi kesudahannya harus berpuas hati terpaksa melakukan perhitungan sekali lagi.


Anak buah Claudio Ranieri terus bergelut untuk mengulangi prestasi musim lalu, bagaimanapun Morgan yang menjadi nadi penting dalam kempen terdahulu, membantu pasukannya mengelak ditimpa kekalahan, empat minit menuju waktu penamat.

Leicester memulakan permainan dengan corak agresif dan beroleh gol pertama selepas diberi sepakan penjuru pada minit kelapan.

Darren Bent yang panik tertampan bola ke dalam gawangnya sendiri ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bekas penyerang England itu menebus kesilapan awalnya itu apabila menanduk kilas umpanan Will Hughes untuk menyamakan kedudukan.

Penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel, tertewas buat kali kedua sebelum perlawanan babak pertama berakhir untuk gol sulungnya musim ini.

Situasi itu mendorong Ranieri menurunkan pemain sayap lincah, Demarai Gray, dan mengeluarkan pemain pertahanan, Christian Fuchs, sebaik permainan bersambung.

Kemasukan Gray terbukti berkesan apabila pemain muda itu terlepas peluang gol apabila percubaannya dinafikan penjaga gol lawan, Scott Carson.

Sepakan penjuru Gray kemudian ditanduk kencang oleh Morgan untuk mengikat kedudukan.

Sambil Derby mendakwa mereka sepatutnya diberikan sepakan penalti berikutan mendakwa bola terkena tangan Robert Huth, Leicester pula terus mengatur asakan dan Danny Drinkwater hampir memberikan gol kemenangan kepada Leicester.

Percubaannya pada masa kecederaan ditampan Carson untuk melanjutkan aksi mereka ke Stadium King Power nanti.