Pengendali Southamtpon, Claude Puel, mengakui gol pertama Chelsea di Stadium St Mary memainkan peranan besar selepas menyaksikan pasukannya tewas 2-0 di laman sendiri.

Eden Hazard membuka tirai jaringan seawal minit keenam apabila rembatannya melalui di antara kaki penjaga gol, Fraser Forster, untuk memberikan skuad kendalian Antonio Conte penguasaan bola.

Diego Costa menambah gol kedua 10 minit selepas separuh masa kedua bermula untuk mengesahkan kemenangan keempat berturut-turut, sekaligus meletakkan mereka di tangga keempat, satu mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Jose Mourinho minggu lalu berkata Manchester United tewas 4-0 di Stamford Bridge disebabkan gol awal Pedro membenarkan Chelsea untuk bertahan dengan lebih dalam dan hanya melancarkan serangan balas.

Puel berpendapat pasukannya turut berdepan senario sama selepas gol awal Eden Hazard.

"Saya rasa kami bermain dengan baik pada babak pertama apabila mencipta beberapa peluang dan bermain dengan baik.

Namun, bukan mudah berdepan lawan apabila kamu bolos pada awal perlawanan. Mereka akan menerapkan corak bertahan dan mengharapkan serangan balas.

"Separuh masa pertama, kami bermain dengan baik dan pada babak kedua, kami cuba untuk menghadirkan jaringan. Namun, gol Costa menyukarkan keadaan buat pemain saya yang nyata kepenatan.

"Kami kecewa kerana kami telah beraksi dengan baik."

Sementara itu, pemain tengah Southampton, Steven Davis, mengakui mereka tewas kepada pasukan yang lebih baik.

"Chelsea bermain dengan sangat teratur, sukar untuk menyaingi mereka.

"Walaupun kami menguasai hantaran bola, Chelsea berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang."