CHELSEA 4 HULL CITY 0

Olivier Giroud lega dapat mencetak gol selain mencipta dua bantuan jaringan dalam kemenangan 4-0 Chelsea ke atas di Hull City dalam aksi Piala FA, awal pagi tadi.


Pemain Perancis itu menyertai Chelsea dengan yuran £18 juta (RM98.33j) dari Arsenal bulan lalu dan gagal menghasilkan gol dalam beberapa aksi awalnya menentang Watford dan West Brom dalam Liga Perdana.

Penantiannya berakhir di Stamford Bridge awal pagi tadi apabila menyudahkan peluang dari jarak dekat selepas bergandingan baik dengan Emerson Palmieri untuk meletakkan The Blues dalam laluan selesa ke suku akhir selepas kesemua gol terhasil pada babak pertama lagi.

"Sejujurnya, saya menantikannya (gol pertama untuk Chelsea)," Giroud memberitahu BT Sport.

"Saya mempunyai beberapa peluang dalam perlawanan terdahulu, jadi ya, sangat penting untuk mendapatkan gol pertama dan kini saya sedikit lega.

"Saya gembira untuk mencipta peluang buat Willian, saya sangat rasakan keseronokan di atas padang dan saya fikir kita sedang melihat pasukan yang mempunyai perpaduan tinggi.

"Ia penting untuk bangkit daripada kekalahan (bertemu Watford) sebelum aksi West Brom yang merupakan hasil yang mengecewakan.

"Tujuh gol, dua rekod bersih -- itu yang kami perlukan."

Walaupun Giroud terbabit dengan tiga gol sejak menyertai The Blues, Willian mencuri perhatian dalam perlawanan itu dengan menyumbat dua gol serta memperagakan permainan menarik.

Pemain Brazil tersebut menyambut baik prestasi keseluruhan Chelsea dengan mengatakan mereka membuatkan permainan itu "mudah".

"Ia merupakan persembahan yang hebat," ujar Willian. "Secara jujur, kami menjangkakan permainan sukar tetapi ia menjadi mudah kerana kami menghasilkan permainan menarik.

"Kami bermain dengan baik sejak awal, menjaringkan banyak gol dan kami melakukan tugas yang hebat. Dalam bola sepak, anda sentiasa perlu memperbaiki dan kami melakukannya dua minggu yang lalu, bekerja keras untuk memperbaiki diri."