Olivier Giroud mencadangkan dia akan menandatangani kontrak baru untuk kekal bersama Arsenal.

Kontrak pemain kebangsaan Perancis itu akan tamat pada Jun 2018 dan terdapat beberapa persoalan mengenai masa depannya bersama kelab itu kerana dia tidak lagi beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.

Pengendali pasukan, Arsene Wenger, kini lebih gemar menurunkan Alexis Sanchez sebagai penyerang.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu telah memutuskan masa depannya untuk kekal bersama Arsenal.

"Terdapat beberapa pihak yang mengatakan bahawa saya telah menandatangani kontrak baru tetapi ia perkara yang tidak benar," ujar Giroud.

"Saya pulang sedikit lewat dari Kejohanan Eropah kerana saya perlu berehat untuk mendapatkan tahap kecergasan saya.

"Saya menghadapi kesukaran musim ini kerana mengalami kecederaan yang memerlukan rehat selama satu setengah bulan dan ia menyukarkan lagi buat diri saya untuk mempamerkan aksi yang cemerlang.

"Tetapi saya memberikan fokus sepenuhnya dalam sesi latihan dan memastikan saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Saya telah berbincang dengan pengurus, beliau telah menjelaskan mengapa saya kurang beraksi sehingga kini.

"Selagi pasukan beraksi dengan baik, ia menggembirakan saya. Tetapi saya memerlukan lebih banyak masa di atas padang."