Arsene Wenger mendedahkan dia memberi peluang kepada Oliver Giroud untuk keluar daripada Arsenal sebelum penyerang itu meledak gol kemenangan pasukannya dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris berdepan Leicester City yang berkesudahan 4-3, awal pagi tadi.

Giroud dikaitkan dengan perpindahan ke Marseille baru-baru ini sebelum ketua jurulatih, Rudi Garcia, menamatkan pemburuan minggu ini.

Rekod pembelian termahal, Alexandre Lacazette, meletakkan Arsenal di depan seawal minit kedua berdepan Leicester, yang dua kali di depan menerusi gol Jamie Vardy dan Shinji Okazaki.

Selepas menyaksikan Giroud melepaskan tandukan ke gawang Leicester, sekaligus mengesahkan kemenangan pada minit ke-85, Wenger tidak dapat menyembunyikan keterujaannya terhadap keputusan pemain berusia 30 tahun itu untuk kekal di Emirates.

"Saya amat menyukai pemain itu," Wenger memberitahu Sky Sports.

"Dia seorang yang menakjubkan dan cukup komited, dia sayangkan kelab ini.

"Dia enggan berpindah dan saya gembira kerana dia kekal.

"Ada masanya saya membuka pintu kepadanya untuk berhijrah kerana saya sedar saya memiliki pemain penyerang yang ramai.

"Dia amat disayangi di sini, kami menyukainya dan dia membuat keputusan untuk kekal."

Meskipun memiliki ketajaman di jentera serangan, senario sebaliknya berlaku terhadap jentera pertahanan dengan ketiadaan Laurent Koscielny, Shkodran Mustafi dan Per Mertesacker membuatkan pemain muda, Rob Holding, terdedah kepada kepantasan pemain lawan.

"Gol pertama hadir daripada hantaran lambung, pemain tidak memberi fokus dengan baik. Gol kedua berpunca daripada kehilangan bola," tambah Wenger.

"Terdapat beberapa kesilapan berlaku berpunca daripada kurangnya pengalaman.

"Holding akan menjadi bek tengah terbaik tetapi selepas satu atau dua kesilapan, keyakinan dia mula hilang.

"Kami kehilangan ramai pertahanan berpengalaman malam ini."